Memperkukuh kerjasama dalam memajukan penyelesaian tenaga huluan, hiliran



​​

Oleh : Aimi Sani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 Mei. – Universiti Teknologi Brunei (UTB) hari ini menganjurkan UTB Energy Spectrum Symposium: Integrating Upstream, Downstream and Renewable Frontiers bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 universiti berkenaan di Teater Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, UTB.


Simposium berkenaan berfungsi sebagai platform pelbagai disiplin yang menyatukan ahli akademik, industri dan agensi kerajaan untuk memperkukuh kerjasama dalam memajukan penyelesaian tenaga huluan, hiliran dan boleh diperbaharui yang bersepadu bagi menyokong agenda peralihan tenaga dan aspirasi pembangunan mampan Negara Brunei Darussalam (NBD).


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.


Naib Canselor UTB dalam ucapan pembukaannya, mengesahkan semula komitmen UTB terhadap penyelidikan, inovasi dan perkongsian strategik yang memberi impak, menyumbang kepada kemajuan sektor tenaga dan pembangunan negara.


Kemuncak utama simposium berkenaan ialah perbincangan ahli panel mengenai tema simposium, iaitu 'Balancing Energy Security, Intergration, and Transition: Navigating Priorities and Trade-Offs' yang dikendalikan oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTB, Profesor Dr. Mohamed Hasnain Isa.


Ahli-ahli panel terdiri daripada wakil-wakil terkemuka akademik dan industri, termasuk Naib Presiden dan Pengerusi Shell Negara bagi Brunei Darussalam (NBD), Mr. Henry Bristol; Pengarah Urusan Petroleum Authority of Brunei Darussalam (PABD), Shamir Salahudin; Ketua Unit Tenaga Boleh Diperbaharui, Bahagian Peralihan Tenaga, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri, Dayang Siti Sarah binti Haji Yusop; Ketua Perkhidmatan Teknikal Brunei LNG Sendirian Berhad (Brunei LNG), Dr. Ingenieur Pascal Ifeacho; dan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, UTB, Dr. Sivakumar Manickam.


Perbincangan berkenaan tertumpu kepada isu-isu kritikal berkaitan integrasi sistem tenaga, laluan peralihan tenaga boleh diperbaharui, inovasi teknologi dan kerjasama rentas sektor yang bertujuan untuk memperkukuh daya tahan dan kemampanan tenaga NBD.


Simposium berkenaan juga menyaksikan pertukaran simbolik Perjanjian Penajaan antara UTB dan Shell Deepwater Borneo B.V., yang telah ditandatangani secara rasmi pada 1 Mei 2026. Perjanjian berkenaan menandakan satu peristiwa penting dalam meningkatkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak, terutamanya dalam memajukan penyelidikan gunaan, penglibatan industri dan pembangunan bakat melalui AI Machinery Lab di UTB.


Majlis pertukaran berkenaan melibatkan Naib Canselor UTB; Pengarah Urusan Shell Deepwater Borneo B.V., Dougal Grant; dan Naib Presiden dan Pengerusi Shell Negara bagi Brunei Darussalam (NBD).


Simposium berkenaan turut menampilkan beberapa siri pembentangan teknikal daripada pakar industri dan akademik yang merangkumi topik berkaitan sistem tenaga bersepadu, inovasi huluan, teknologi boleh diperbaharui, laluan penukaran karbon, dan penyelesaian kejuruteraan termaju.


Di samping itu, para peserta berpeluang untuk terlibat dalam pameran poster, perbincangan interaktif, dan lawatan ke Sand Retention Innovation Lab (SRI), yang mempamerkan inisiatif penyelidikan berterusan dan kemajuan teknologi di UTB.


Simposium berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UTB, terutamanya bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-40, ke arah memupuk inovasi, memperkukuh perkongsian strategik dan menyumbang kepada kemajuan pembangunan tenaga lestari di NBD dan seterusnya.


Close